Wednesday, January 29, 2014

Bergembiralah sahabatku..Di sebalik setiap musibah, pasti ada hikmahnya..


Hidup ini ibarat roda. Adakalanya kita gembira, dan adakalanya kita bersedih. Bila kesedihan melanda, hati mula terasa pedih, semangat mula terpadam sedikit demi sedikit. Tiada lagi keghairahan untuk melakukan kerja. Tiada lagi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Tiada lagi senyuman yang terpancar di wajah. Semuanya tampak suram. Tiba-tiba dunia menjadi gelap. Sangat-sangat gelap untuk kita.

Jangan bersedih, sahabatku..

Setiap musibah itu datangnya daripada Allah swt. Hakikatnya, Allah swt tidak mendatangkan musibah itu kerana Dia zalim kepada kita. Akan tetapi, Allah swt berikan kita sesuatu musibah kerana Dia CINTAkan kita. Dikatakan bahawa, Allah swt kasih kepada seorang manusia, 70 kali ganda melebihi daripada kasihnya seorang ibu kepada anaknya. Seandainya benar Allah swt kasih dan sayang kepada kita, sudah tentu di sebalik setiap musibah, ada tersimpan satu hikmah. Tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Allah swt. Namun apa yang pasti, setiap hikmah itu sangat berkait rapat dengan dasar CINTA Nya terhadap kita.

Hikmah #1:  Allah swt sangat rindu pada kita. Dan Dia mahu kita lebih dekat denganNya.

Adakalanya kita ter”lemas” dengan urusan dunia. Kesibukan menyebabkan kita lalai daripada mengingatiNya. Solat kita penuh dengan dunia. Zikir kita penuh dengan dunia. Sedekah kita juga kerana dunia. Sehingga tiada saat, terdetik di dalam hati kita untuk mengingatiNya. Kalau ada pun, hanya sedikit sahaja..Sehingga boleh dibilang dengan jari jemari sahaja.

Kerana Allah swt sangat SAYANG pada kita, kerana Allah swt sangat CINTA kepada kita, maka Dia tidak sanggup melihat kita terus lemas di dalam dunia. Lantas, dengan kasih sayangNya, Dia terus menarik kita. Bukan untuk merosakkan kita, tetapi untuk menyelamatkan kita.

Salah satu caranya ialah, dengan memberikan kita musibah. Apabila ditimpa musibah, kebiasaannya, manusia akan mula mengingati Allah swt. Manusia akan cuba mencari peluang agar selalu dekat denganNya. Manusia akan mula menambahkan doanya. Manusia akan mula menambahkan amalnya. Solatnya tidak lagi leka..Zikirnya tidak lagi leka..Khusyu’ dan khudu’ mula menemani dalam setiap ibadahnya.
Nah!..Inilah yang Allah swt mahukan. Dia sangat rindu mendengar suara hambaNya. Kerana Dia sangat suka mendengar zikir hambaNya, Dia sangat suka mendengar bacaan Al Quran daripada hambaNya. Dia juga sangat suka apabila hambanya menadahkan tangan di dalam tahajudnya, meminta-minta, merintih, merayu, dan menangis di hadapanNya.

Hikmah #2: Allah swt ingin menghapuskan dosa-dosa kita.

Allah swt itu jauh sekali daripada sifat zalim. Allah swt tidak pernah akan menzalimi hamba-hamba yang dicintaiNya. Sedangkan, manusia lah yang menzalimi dirinya sendiri. Manusia menzalimi dirinya sendiri dengan mengingkari perintah-perintah Allah swt. Allah swt perintahkan solat, bukan kerana mahu membebankan manusia. Sedangkan Allah swt memerintahkan solat kerana CINTANya pada manusia. Allah swt perintahkan agar kita menutup aurat, juga kerana Dia cintakan kita. Allah swt perintahkan kita menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita, juga kerana cintaNya pada kita.

Setiap syariat Allah swt itu adalah kerana cintaNya Dia pada kita. Apabila setiap syariat diikuti, ia akan membuahkan hasil dan manfaatnya untuk manusia. Apabila seorang wanita menjaga auratnya, maka dia tidak akan menjadi punca yang menaikkan nafsu berahi lelaki, dan dia juga akan terselamat daripada zina . Apabila seorang lelaki menundukkan pandangannya pada wanita dan wanita juga membuat perkara yang sama, maka tidak akan ada suami atau isteri yang curangkepada pasangannya.

Apabila manusia mula meninggalkan syariat, maka dia akan menzalimi dirinya sendiri dan orang lain. Adakalanya, kita tidak perasan akan perkara-perkara ini. Maka, Allah swt berikan kita sedikit musibah, agar kita kembali muhasabah diri dan membuat koreksi atas setiap kesilapan kita. Perbanyakkanlah taubat dan istighfar, agar Allah swt menjadikan musibah ini sebagai kaffarah kepada dosa-dosa kita. Harapan kita semoga, bila dosa-dosa ini sudah terampun sebelum kita mati, maka di akhirat nanti ia tidak akan disebut lagi di mahkamah ahkamul haakimin.

Hikmah #3: Allah swt ingin menambahkan pahala kita

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda:

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa, Rasulullah saw ketika meriwayatkan satu hadis Qudsi telah bersabda; “Wahai anak Adam! Jika engkau terus bersabar (bilamana hilangnya sesuatu daripada dirimu) dan engkau harapkan pahala, maka Aku tidak rela membalasimu dengan balasan yang lebih rendah daripada syurga.”(HR Ibnu Majah)

Kasihnya Allah swt kepada kita. Jika kita dapat bersabar dengan musibah yang diberikan olehnya, maka Allah swt akan mengganjari kita dengan SYURGA! MasyaAllah!!!

Pelajarilah sabar daripada kisah Nabi Ayyub a.s. Allah swt telah matikan anak-anaknya..tetapi baginda masih bersabar. Allah swt telah hancurkan harta bendanya..namun baginda masih bersabar. Allah swt telah uji dengan penyakit..tetapi baginda masih boleh bersabar. Allah swt uji dengan kejian dan cemuhan masyarakat, tetapi baginda masih bersabar. Dan akhir sekali, isteri yang dicintainya juga turut pergi meninggalkannya..tetapi baginda masih lagi bersabar.

Namun, kerana kesabaran baginda, selepas daripada semua musibah itu, Allah swt telah mengurniakannya harta yang melimpah ruah. Allah swt telah memberikan anak-anak yang ramai dan isteri yang solehah. Nabi Ayub a.s telah membuktikan CINTAnya kepada Allah swt. Dalam keadaan susah mahupun senang, baginda tetap setia dengan CINTAnya kepada Allah swt.


Jika hendak dibandingkan musibah yang Allah swt berikan kepada kita dengan musibah yang Allah berikan kepada Nabi Ayub a.s, apalah sangat musibah yang sedang kita alami. Seharusnya, musibah ini akan membuatkan kita lebih sedar akan CINTAnya Allah swt kepada kita dan kita sebagai hambaNya, lebih-lebih lagi wajib mencintaiNya.

Hikmah #4: Allah swt ingin meningkatkan iman kita kepadaNya

Iman itu adalah yakin. Yakin dengan sepenuh hati bahawa hanyalah Allah swt Tuhan yang layak disembah. Yakin dengan sepenuh hati bahawa hanya Allah swt tempat meminta pertolongan. Sebagaimana yang sering kita baca di dalam solat kita;
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Surah Al Fatihah: 5)

Seandainya kita benar-benar yakin dengan janji-janji pertolongan Allah swt, apabila ditimpa sebarang musibah, maka kita akan meningkatkan usaha untuk beramal dengan amalan-amalan yang ada janji-janji Allah.

Seperti dengan solat, Allah swt janjikan pertolongan (Al Baqarah:45). Orang yang bersolat tidak akan menjadi orang yang berdukacita (Al Baqarah:277). Dengan menjaga solat, Allah swt janjikan kemurahan rezeki (Taha:132). Dengan khusyu dalam solat, Allah janjikan kejayaan.(Al Mukminun:1-2)

Apabila ditimpa musibah, dekatkanlah diri dengan Allah swt sebanyak mungkin. Banyakkan istighfar. Usahakan agar solat dikerjakan dengan penuh khusyu’ dan khudu’. Banyakkan berzikir kerana dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang. Berzikirlah dengan penuh tawajuh dan sungguh-sungguh, nescaya Allah swt akan memberikan kekuatan kepada hati. Dan yang terakhir sekali, banyakkanlah berdoa. Terutamanya, pada waktu-waktu doa paling mustajab seperti di bahagian akhir malam. InsyaAllah, sedikit demi sedikit, Allah swt akan tunjukkan jalan keluar dan selesaikan masalah tersebut.

Apabila seorang mukmin mengaku bahawa dia beriman kepada Allah swt, maka pasti dan pasti imannya akan diuji. Dan apabila seorang mukmin BERJAYA melepasi ujian tersebut, maka Allah swt akan naikkan darjatnya. Imannya akan meningkat. Yakinnya pada janji-janji Allah swt akan meningkat. Justeru, amalnya juga akan turut meningkat. Dan Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan menzahirkan kenikmatannnya yang mencurah-curah. Allah swt akan berikan kepadanya nikmat ketenangan dan kebahagian yang lebih indah daripada kehidupan sebelum musibah tadi.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al Insyirah: 5-6)

MasyaAllah! Indahnya CINTA Allah swt…Kita makhluk yang sangat lemah, sangat tidak mengerti apakah hikmah di sebalik setiap musibah. Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahuinya. Hakikatnya, Allah swt sentiasa menentukan apa yang TERBAIK buat kita kerana Dia sangat-sangat CINTA pada kita…

petikan dari web...http://anakkusoleh.com/?p=600


Ala...Terlewat pulak nak ucapkan...Selamat Datang Tahun 2014....

Ini mata budak comel...hee..;)

Assalammualaikum....hurmm...dah masuk tahun 2014...tahun baru dalam kalendar omputih ni x sama dgn kalendar Hijrah...kita umat Islam dah sambut tahun baru lagi awal dari tahun 2014 tu kan....well...tahun ni...bermakna makin bertambahla usia kita dan semakin kita menghampiri ke Alam lain...inshaaAllah..moga dipermudahkan segala urusan kita didunia dan diakhirat sana...aminn....

Dan..tak lupa saya....untuk si comel kesayangan saya dalam gambar tu....dah GENAP 2 TAHUN 8 BULAN ke hadrat Allah SWT pada 14 JANUARI....dan saat ini usianya pada 17 JANUARI yang lalu GENAP 3 TAHUN 4 BULAN....rindunya kat Arissa sayang ibu ni...sehingga saat ini...sampai selamanya...ibu masih lagi ke pusaramu sayang....selagi hayat masih ada....Al-Fatihah untuk dirimu.....ibu rindu taw....semoga dirimu berbahagia selalu disampingNya yang Maha Penyayang....;)

Dugaan diakhir tahun 2013 dan awal 2014 terlalu banyak..tak terhitung....Ya Allah...alhamdulillah...kerana Dia masih sayang..maka diberinya Ujian..supaya akan lebih tabah..inshaaAllah...tiada masalah yang tak dapat diselesaikan....cuma masa sahaja yang menentukan.....amin....


Apa lagi yer....hurmmm....terima kasih yer pada semua yang sudi singgah di blog saya...sesekali...klik la iklan-iklan kat tepi tu....terima kasih taw....terima kasih sangat2...tanpa korang yang membaca ni..siapala saya ni kan....ha'ah..saya taw..saya jarang update blog..sebab kat opis...baru dapat buat sekejap..tu pun tak lama la dapat buka...kat rumah internet slow amat....lagi slow dari kura-kura & siput taw....

Owh ye...baru-baru ni kami berpindah rumah...well...penat sangat..itula antara dugaan kami...subhanallah....ada hikmah juga sebenarnya kami berpindah kali ini...syukur sangat...Alhamdulillah...ok la semua...jumpa lagi next entry....Assalammualaikummm....;)

This is Our Life, Our Journey & Our Love....