Hidup ini ibarat roda.
Adakalanya kita gembira, dan adakalanya kita bersedih. Bila kesedihan melanda,
hati mula terasa pedih, semangat mula terpadam sedikit demi sedikit. Tiada lagi
keghairahan untuk melakukan kerja. Tiada lagi kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Tiada lagi senyuman yang terpancar di wajah. Semuanya tampak suram. Tiba-tiba
dunia menjadi gelap. Sangat-sangat gelap untuk kita.
Jangan bersedih, sahabatku..
Setiap musibah itu
datangnya daripada Allah swt. Hakikatnya, Allah swt tidak mendatangkan musibah
itu kerana Dia zalim kepada kita. Akan tetapi, Allah swt berikan kita sesuatu
musibah kerana Dia CINTAkan kita. Dikatakan bahawa, Allah swt kasih kepada
seorang manusia, 70 kali ganda melebihi daripada kasihnya seorang ibu kepada
anaknya. Seandainya benar Allah swt kasih dan sayang kepada kita, sudah tentu
di sebalik setiap musibah, ada tersimpan satu hikmah. Tiada siapa yang
mengetahuinya, melainkan Allah swt. Namun apa yang pasti, setiap hikmah itu
sangat berkait rapat dengan dasar CINTA Nya terhadap kita.
Hikmah #1:
Allah swt sangat rindu pada kita. Dan Dia mahu kita lebih dekat
denganNya.
Adakalanya kita
ter”lemas” dengan urusan dunia. Kesibukan menyebabkan kita lalai daripada
mengingatiNya. Solat kita penuh dengan dunia. Zikir kita penuh dengan dunia.
Sedekah kita juga kerana dunia. Sehingga tiada saat, terdetik di dalam hati
kita untuk mengingatiNya. Kalau ada pun, hanya sedikit sahaja..Sehingga boleh
dibilang dengan jari jemari sahaja.
Kerana Allah swt sangat
SAYANG pada kita, kerana Allah swt sangat CINTA kepada kita, maka Dia tidak
sanggup melihat kita terus lemas di dalam dunia. Lantas, dengan kasih
sayangNya, Dia terus menarik kita. Bukan untuk merosakkan kita, tetapi untuk
menyelamatkan kita.
Salah satu caranya
ialah, dengan memberikan kita musibah. Apabila ditimpa musibah, kebiasaannya,
manusia akan mula mengingati Allah swt. Manusia akan cuba mencari peluang agar
selalu dekat denganNya. Manusia akan mula menambahkan doanya. Manusia akan mula
menambahkan amalnya. Solatnya tidak lagi leka..Zikirnya tidak lagi
leka..Khusyu’ dan khudu’ mula menemani dalam setiap ibadahnya.
Nah!..Inilah yang Allah
swt mahukan. Dia sangat rindu mendengar suara hambaNya. Kerana Dia sangat suka
mendengar zikir hambaNya, Dia sangat suka mendengar bacaan Al Quran daripada
hambaNya. Dia juga sangat suka apabila hambanya menadahkan tangan di dalam
tahajudnya, meminta-minta, merintih, merayu, dan menangis di hadapanNya.
Hikmah #2: Allah swt ingin menghapuskan
dosa-dosa kita.
Allah swt itu jauh
sekali daripada sifat zalim. Allah swt tidak pernah akan menzalimi hamba-hamba
yang dicintaiNya. Sedangkan, manusia lah yang menzalimi dirinya sendiri.
Manusia menzalimi dirinya sendiri dengan mengingkari perintah-perintah Allah
swt. Allah swt perintahkan solat, bukan kerana mahu membebankan manusia.
Sedangkan Allah swt memerintahkan solat kerana CINTANya pada manusia. Allah swt
perintahkan agar kita menutup aurat, juga kerana Dia cintakan kita. Allah swt
perintahkan kita menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita, juga kerana cintaNya
pada kita.
Setiap syariat Allah
swt itu adalah kerana cintaNya Dia pada kita. Apabila setiap syariat diikuti,
ia akan membuahkan hasil dan manfaatnya untuk manusia. Apabila seorang wanita
menjaga auratnya, maka dia tidak akan menjadi punca yang menaikkan nafsu berahi
lelaki, dan dia juga akan terselamat daripada zina . Apabila seorang lelaki
menundukkan pandangannya pada wanita dan wanita juga membuat perkara yang sama,
maka tidak akan ada suami atau isteri yang curangkepada pasangannya.
Apabila manusia mula
meninggalkan syariat, maka dia akan menzalimi dirinya sendiri dan orang lain.
Adakalanya, kita tidak perasan akan perkara-perkara ini. Maka, Allah swt
berikan kita sedikit musibah, agar kita kembali muhasabah diri dan membuat
koreksi atas setiap kesilapan kita. Perbanyakkanlah taubat dan istighfar, agar
Allah swt menjadikan musibah ini sebagai kaffarah kepada dosa-dosa kita.
Harapan kita semoga, bila dosa-dosa ini sudah terampun sebelum kita mati, maka
di akhirat nanti ia tidak akan disebut lagi di mahkamah ahkamul haakimin.
Hikmah #3: Allah swt ingin menambahkan pahala
kita
Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda:
Dari Abu Umamah r.a
meriwayatkan bahawa, Rasulullah saw ketika meriwayatkan satu hadis Qudsi telah
bersabda; “Wahai anak Adam! Jika engkau terus bersabar (bilamana hilangnya
sesuatu daripada dirimu) dan engkau harapkan pahala, maka Aku tidak rela
membalasimu dengan balasan yang lebih rendah daripada syurga.”(HR Ibnu Majah)
Kasihnya Allah swt
kepada kita. Jika kita dapat bersabar dengan musibah yang diberikan olehnya,
maka Allah swt akan mengganjari kita dengan SYURGA! MasyaAllah!!!
Pelajarilah sabar
daripada kisah Nabi Ayyub a.s. Allah swt telah matikan anak-anaknya..tetapi
baginda masih bersabar. Allah swt telah hancurkan harta bendanya..namun baginda
masih bersabar. Allah swt telah uji dengan penyakit..tetapi baginda masih boleh
bersabar. Allah swt uji dengan kejian dan cemuhan masyarakat, tetapi baginda
masih bersabar. Dan akhir sekali, isteri yang dicintainya juga turut pergi
meninggalkannya..tetapi baginda masih lagi bersabar.
Namun, kerana kesabaran
baginda, selepas daripada semua musibah itu, Allah swt telah mengurniakannya
harta yang melimpah ruah. Allah swt telah memberikan anak-anak yang ramai dan
isteri yang solehah. Nabi Ayub a.s telah membuktikan CINTAnya kepada Allah swt.
Dalam keadaan susah mahupun senang, baginda tetap setia dengan CINTAnya kepada
Allah swt.
Jika hendak
dibandingkan musibah yang Allah swt berikan kepada kita dengan musibah yang
Allah berikan kepada Nabi Ayub a.s, apalah sangat musibah yang sedang kita
alami. Seharusnya, musibah ini akan membuatkan kita lebih sedar akan CINTAnya
Allah swt kepada kita dan kita sebagai hambaNya, lebih-lebih lagi wajib
mencintaiNya.
Hikmah #4: Allah swt ingin meningkatkan iman
kita kepadaNya
Iman itu adalah yakin.
Yakin dengan sepenuh hati bahawa hanyalah Allah swt Tuhan yang layak disembah.
Yakin dengan sepenuh hati bahawa hanya Allah swt tempat meminta pertolongan.
Sebagaimana yang sering kita baca di dalam solat kita;
Engkaulah sahaja (Ya
Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
(Surah Al Fatihah: 5)
Seandainya kita
benar-benar yakin dengan janji-janji pertolongan Allah swt, apabila ditimpa
sebarang musibah, maka kita akan meningkatkan usaha untuk beramal dengan
amalan-amalan yang ada janji-janji Allah.
Seperti dengan solat,
Allah swt janjikan pertolongan (Al Baqarah:45). Orang yang bersolat tidak akan
menjadi orang yang berdukacita (Al Baqarah:277). Dengan menjaga solat, Allah
swt janjikan kemurahan rezeki (Taha:132). Dengan khusyu dalam solat, Allah
janjikan kejayaan.(Al Mukminun:1-2)
Apabila ditimpa
musibah, dekatkanlah diri dengan Allah swt sebanyak mungkin. Banyakkan
istighfar. Usahakan agar solat dikerjakan dengan penuh khusyu’ dan khudu’.
Banyakkan berzikir kerana dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang.
Berzikirlah dengan penuh tawajuh dan sungguh-sungguh, nescaya Allah swt akan
memberikan kekuatan kepada hati. Dan yang terakhir sekali, banyakkanlah berdoa.
Terutamanya, pada waktu-waktu doa paling mustajab seperti di bahagian akhir
malam. InsyaAllah, sedikit demi sedikit, Allah swt akan tunjukkan jalan keluar
dan selesaikan masalah tersebut.
Apabila seorang mukmin
mengaku bahawa dia beriman kepada Allah swt, maka pasti dan pasti imannya akan
diuji. Dan apabila seorang mukmin BERJAYA melepasi ujian tersebut, maka Allah
swt akan naikkan darjatnya. Imannya akan meningkat. Yakinnya pada janji-janji
Allah swt akan meningkat. Justeru, amalnya juga akan turut meningkat. Dan Allah
swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan menzahirkan kenikmatannnya yang
mencurah-curah. Allah swt akan berikan kepadanya nikmat ketenangan dan
kebahagian yang lebih indah daripada kehidupan sebelum musibah tadi.
“Oleh itu, maka
(tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai
kemudahan,(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran
disertai kemudahan” (Al Insyirah: 5-6)
MasyaAllah! Indahnya
CINTA Allah swt…Kita makhluk yang sangat lemah, sangat tidak mengerti apakah
hikmah di sebalik setiap musibah. Hanya Allah swt sahaja yang Maha
Mengetahuinya. Hakikatnya, Allah swt sentiasa menentukan apa yang TERBAIK buat
kita kerana Dia sangat-sangat CINTA pada kita…
petikan dari web...http://anakkusoleh.com/?p=600
i like it
ReplyDeletethanks...